Thursday, August 2, 2012

Keberkatan Ilmu Begitu Bernilai

Dalam kita sibuk mencari ilmu baik belajar secara formal atau tidak formal, perkara yang paling utama sekali adalah soal keberkatan. Keberkatan ilmu ini penting bagi memastikan ilmu yang kita dapat diredhai Allah SWT. Bagi seorang yang bergelar pelajar, keberkatan ilmu sangat perlu dititikberatkan. ‘Sewaktu kita di sekolah menengah dahulu, cikgu-cikgu sering berpesan tentang berkat. “Jangan kurang ajar dengan guru-guru, tak berkat ilmu kamu”, ”Jangan ponteng kelas, hilang berkat”, “Jangan meniru, jangan mengumpat cikgu di belakang, jangan riak kalau kamu pandai,dan pelbagai lagi “jangan” yang dikaitkan dengan keberkatan. Kadangkala kita merasakan sudah bertungkus lumus mengulang kaji. Sudah berpuluh kali menyelak nota yang sama. Masih juga susah untuk faham. Rasa terhijab dan sebagainya. Bila sudah faham pula, tiba-tiba lupa a.k.a blank di dewan peperiksaan. Jika hal-hal seperti ini pernah berlaku pada kita, semaklah kembali adab-adab kita sebagai penuntut ilmu. Mungkin inilah natijahnya jika kita kurang mengambil kira soal keberkatan. Bagaimana ilmu mahu berkat jika tiada hormat pada yang menyampaikan ilmu? Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Kami diperintahkan supaya tawadhu’ kepada sesiapa yang kami pelajari ilmu daripadanya (guru atau ulama’) Keberkatan juga boleh hilang jika ilmu yang dicari digunakan untuk bermegah-megah. Semakin berilmu, semakin pula merasakan diri hebat. Rakan-rakan yang lebih rendah pencapaiannya dirasakan tidak sama level dengan dirinya. Maksud sebuah hadis riwayat Ibn Hibban: “Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.” Jangan pula mengharapkan ilmu itu berkat jika dicampur baurkan dengan maksiat. Ada sesetengah dari kita yang menghabiskan berjam-jam untuk study. Malangnya, sambil study sambil berchatting dengan buah hati yang masih belum halal. Lebih parah jika study bersama-sama, hanya berdua. Pembakar semangat katanya. Ada pula yang sambil menonton cerita-cerita Korea, Jepun mahupun Barat yang mempunyai adegan yang tidak patut dijamah mata, ataupun mendengar muzik-muzik yang melalaikan jiwa. Alasannya, mahu release tension. Sedarlah bahawa ilmu itu suci, ibarat cahaya yang terang. Takkan hadir pada hati yang penuh kotor dengan maksiat, gelap tidak bersinar. Tidak dinafikan, ada saja manusia yang berjaya walaupun adab pada guru tidak dijaga. Ada saja yang cemerlang walaupun meninggalkan solat, melanggar hukum-hukum Allah. Bagaimana mereka boleh berjaya jika ilmu tiada berkat? Keberkatan dan kejayaan itu sesuatu yang berbeza. Sama halnya antara keberkatan dan kekayaan. Ada negara yang maju dan kaya raya tetapi tidak ada keberkatan. Maksiat, penyelewengan dan jenayah berleluasa sehingga rakyat sendiri tidak berasa selamat. Ada manusia yang gaji sudah berpuluh ribu, tapi harta yang ada masih terasa kurang. Luarannya kita nampak senang, tapi hakikatnya, jiwa mereka tidak tenteram. Keberkatan tidak boleh ternilai dengan mata kasar. Berkat atau barakah itu sendiri bermaksud bertambah dan berkembang, manakala Al Isfahani mendefinisikannya sebagai tetapnya kebaikan Allah dalam sesuatu perkara. Seseorang mungkin berjaya menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah, tapi kerana tiada keberkatan, ilmu yang dipelajari sekadar di hujung pen. Tidak mampu diamalkan dan langsung tidak membawa manfaat buat dirinya. Hanya berjaya dalam peperiksaan tapi tidak berjaya dalam hidup. Berjaya mendapat kedudukan di dunia tapi tidak di akhirat. CGPA itu penting, kerja yang bagus juga penting. Masakan Islam akan dipandang tinggi jika umatnya adalah umat yang mundur dan gagal. Tapi dalam mengejar kejayaan dunia, jangan sampai hak-hak Allah dan hak-hak sesama manusia terabai. Di sebalik assignments yang menimbun, kesibukan mengulangkaji untuk peperiksaan akhir yang semakin hampir, periksalah kembali sama ada keberkatan itu ada bersama kita. Sesungguhnya, iman dan taqwalah yang dapat memandu kita meraih keberkatan dalam safar menuntut ilmu yang panjang ini. Jikalau satu penduduk negeri atau satu kelompok manusia mempunyai dua sifat iaitu beriman dan bertaqwa, niscaya kami (Tuhan) limpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. (Al A’raf: 96) Wahai Tuhan kami, berkatilah ilmu dan kehidupan kami. P- - Keberkatan dalam menuntut ilmu sangat penting tidak kiralah sama ada kita dalam proses pembelajaran di sekolah mahupun universiti. Jangan terlalu mengejar keputusan yang cemerlang, tanpa memikirkan soal adab dengan guru, adab cara belajar dan sebagainya. Semoga kita mendapat keberkatan ilmu daripada Allah SWT. sumber: Ustaz Yahya Cambodia

Thursday, July 19, 2012

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu Syurga dibuka, manakala pintu-pintu Neraka ditutup, Syaitan dirantaikan."
[Riwayat Bukhari & Muslim]

Kelebihan Bulan Ramadhan
i) Perkataan Ramadhan berasal dari kata dasar 'ra-mim-dal', yang bererti "panas" atau "panas yang menyengat". Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud "menjadi panas atau sangat panas", atau diertikan juga sebagai "hampir membakar". Oleh itu makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tenggorok terasa haus disebabkan sedang berpuasa.

ii) Manakala perkataan puasa dalam bahasa Arab disebut 'Siyam' atau 'Soum' Kedua-duanya berasal dari kata dasar 'Sa-wa-ma', di mana secara etmologinya bererti menahan diri daripada segala yang dilarangnya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya. Hal ini dapat diwujudkan dengan adanya perasaan takut (taqwa) kepada Allah S.W.T.

iii) Pada bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa kerana dengan puasalah nafsu akan terdidik. Bahkan dengan rahmat Allah S.W.T di bulan ini segala Syaitan dan Iblis dibelenggu dan Allah juga membuka pintu Syurga dan menutup pintu Neraka. Maka dalam situasi demikian kita hendaklah mengambil peluang untuk menguatkan jiwa dan rohani dengan mengerjakan amal ibadah seperti sembahyang tarawikh dan membaca al-Quran sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran bulan tersebut.

iv) Selain itu Allah S.W.T juga memberikan dorongan untuk kita berusaha memperbanyakkan ibadah dengan melipat gandakan pahala pengamalnya serta disediakan satu malam yang lebih baik iaitu 'Lailatul Qadar' di mana kelebihannya menandingi 1000 bulan malam-malam biasa.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.
[Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 185]
sumber:http://www.iluvislam.com